Menjejak urus niaga haram serumpun

Malaysiakini & Tempo, 25 April 2017

Sepuluh bulan selepas lari daripada rumah, Yufrinda Selan akhirnya kembali ke Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia, sehari sebelum hari jadinya ke-19.

Bagaimanapun, bukan senyum tawa tetapi air mata yang menyambutnya apabila hanya mayat yang berbalut kafan dalam keranda.

Yufrinda pulang dengan kesan lebam dan penuh jahitan di muka dan tangan.

“Padahal katanya gantung diri di rumah majikan,” kata Metusalak Selan, ayah Yufrinda awal Mac lalu.

Siasatan polis Kupang di bandar utama NTT mendapati Yufrinda direkrut oleh jaringan penyeludupan orang, termasuk yang pakar memalsukan dokumen perjalanan.

Mereka mengenal pasti penglibatan bekaspegawai polis Indonesia Eduard Leneng dan Diana Aman yang mempunyai dua agensi buruh swasta – PT Pancamanah Utama dan PT Jaya Abadi – sebagai pihak bertanggungjawab merekrut dan menghantar Yufrinda ke Malaysia.

Kedua-dua mereka telah diheret ke mahkamah atas pelbagai kesalahan bulan ini.

Menurut kertas pendakwaan, Eduard terlibat memalsukan dokumen-dokumen Yufrinda sebelum diserahkan kepada Diana.

Eduard ketika ditemui Disember tahun lalu menafikan terlibat dalam sebarang bentuk kegiatan penyeludupan manusia. Dia malah menafikan pernah terlibat dengan pihak yang merekrut Yufrinda.

Diana dan peguamnya Edwin Manurung pula enggan mengulasnya.

Nasib Yufrinda bagaimanapun bukanlah kes terpencil. Statistik rasmi kerajaan Indonesia tahun lalu mendedahkan seramai 33 orang pekerja asing daripada NTT pulang tidak bernyawa, termasuk dari Malaysia.

“Sampai hari ini, penyeludupan pendatang dari NTT ke Malaysia masih berleluasa,” kata aktivis pemantau penyeludupan orang di Indonesia Melki Musu.

Polis Kupang mendedahkan terdapat lebih 2,200 pekerja di seluruh NTT – merangkumi 500 pulau dan 48,718.1 kilometer persegi di darat dan laut – telah menjadi mangsa untuk sindiket itu dalam tempoh dua tahun.

Angka itu diperoleh daripada kenyataan saksi-saksi dan suspek yang disoal siasat polis. Di NTT saja, dikatakan sekurang-kurangnya terdapat tujuh jaringan yang dikenal pasti.

Polis juga mengakui masih tidak dapat melumpuhkan semua jaringan itu dan ia mesti dilakukan secara berperingkat.

Ketua polis Kupang Adjie Indra juga mendedahkan sebahagian daripada jaringan itu digerakkan melalui dana daripada agensi pembantu rumah dan pekerja asing di Malaysia.

“Cara kerjanya sama dan melibatkan bandar (tokoh) besar di Malaysia,” katanya.

Siasatan bersama Malaysiakini dan Tempo, Indonesia bermula September tahun lalu cuba menjejak kegiatan penyeludupan orang yang melibatkan pemain-pemain di NTT, Medan di Sumatera dan Malaysia.

Alirannya itu boleh dijejak berdasarkan rekod-rekod transaksi antara Januari 2015 hingga Ogos tahun lalu. Rekod tebal itu memperincikan hampir RM1 juta mengalir dari Malaysia ke NTT untuk mendapatkan pekerja asing secara haram.

Transaksi terbesar dibuat oleh seorang wanita yang bernama Oey Wenny Gotama.

Dalam tempoh setahun, dari Ogos 2015, rekod menunjukkan Oey Wenny telah memindahkan sekurang-kurangnya RM646,000 kepada Seri Safkini – pemilik PT Cut Sari Asih, sebuah agensi pekerja yang berpangkalan di Medan.

Pada 28 Jun, Oey Wenny memindahkan RM28,000 sebagai “deposit untuk lima TKW”.

TKW merujuk kepada tenaga kerja wanita manakala TKI merujuk kepada tenaga kerja Indonesia – istilah yang biasa diguna pakai di negara itu.

Seri Safkini kemudian mengedarkan wang itu kepada orang yang terlibat di NTT. Seorang penerima yang dikenal pasti sebagai Yohanes Leonardus Ringgi, pegawai keselamatan di lapangan terbang di Kupang.

Terdapat 155 transaksi dalam tempoh 12 bulan itu, berjumlah sehingga RM600,000, berdasarkan kadar tukaran asing semasa.

Yohanes Ringgi ditemui tiga kali, di dalam penjara selepas ditangkap November lalu kerana terlibat dalam pemerdagangan orang tetapi enggan membuka mulut.

Dalam pertemuan ketiga dia akhirnya mengaku menerima arahan untuk merekrut pembantu rumah untuk dihantar ke Malaysia. Arahan itu didakwa turut diterima daripada Eduard Leneng dan Diana Aman.

Yohanes Ringgi juga menamakan Seri Safkini.

Berdasarkan rekod, beliau menerima RM83,000 daripada Diana dan Eduard.

Yohanes Ringgi, pekerja di lapangan terbang selama 16 tahun, bertanggungjawab memastikan pekerja yang dibawa masuk melepasi pemeriksaan imigresen.

Setakat ini, dia mengaku telah membawa masuk lebih 400 orang pekerja ke Malaysia dari Medan dan Surabaya dan dibayar 500,000 rupiah (RM166) satu kepala.

Buruh kanak-kanak

Sementara itu, kanak-kanak juga didakwa terlibat dalam pemerdagangan orang antara kedua-dua negara. Tempo menemui Damaris Nifu dan Jeni Maria Tekun yang telah berjaya diseludup keluar.

Mereka dibawa masuk ke Malaysia ketika belum pun berumur 16 tahun setelah bertemu Yanto dan Mama Nona – orang bawahan Yohanes yang ditangkap pada pertengahan tahun lalu.

Mereka ternyata terpengaruh janji manis gaji tiga juta rupiah (RM996) ketika gaji minimum di tempat mereka ketika itu cuma 1.25 juta rupiah.

Tetapi ketika disimpan sementara di pejabat PT Cut Sari Asih, mereka mendakwa mendapat layanan buruk, termasuk dipukul dan disepak.

Damaris and Jeni kemudian dihantar ke Banda Acheh tetapi mereka melarikan diri kemudiannya atas dakwaan mendapat layanan buruk majikan.

Bagi kanak-kanak seperti Damaris dan Jeni, perjalanan mereka bermula dengan pemberian identiti baru bagi memenuhi syarat 21 tahun untuk menjadi pembantu rumah di Malaysia.

Kad pengenalan palsu mereka pula diproses oleh seorang pelajar universiti yang menjualnya dengan harga 100,000 rupiah (kira-kira RM30) setiap satu.

Bagi kes Yufrinda Selan yang meninggal di Malaysia, identiti palsunya dikenali sebagai Melinda Sapay.

PIX Gamaliel

Ia dibuat oleh Godstar Mozes Banik, pegawai imigresen yang bertugas di lapangan terbang di Kupang.

Ini berdasarkan kertas pertuduhan terhadap Eduard.

Lagi dari VOX KINI

This page has been viewed 14,696 times.