Kumpulan metal gadis berhijab pecahkan tabu

20 April 2017

Penampilan tiga gadis berhijab dari Garut, Jawa Barat yang menganggotai kumpulan metal Voice of Baceprot (VoB) tiba-tiba menjadi tular dan mendapat perhatian meluas media Indonesia.

VoB dibarisi gadis berumur 15 hingga 16 tahun yang terdiri daripada Firdda Kurnia (gitar dan vokal), Wiki Rahmawati (basis, vokal) dan Euis Siti (pemain dram).

Bersama imej seluar ketat dan muzik membingitkan, ketiga-tiga anak muda yang masih menuntut di sekolah menengah itu memecahkan tradisi wanita berhijab demi minat mendalam terhadap muzik metal.

Mana tidaknya, muzik VoB dengan genre hip metal funky banyak dipengaruhi melodi-melodi seperti Muse, System of A Down, Red Hot Chlili Peppers, Eminem, Sublime, Metalica, Linkin Park, Tool, Gigi, Pas Band dan Netral.

Lagu Enemies of the Earth mengetengahkan mereka hingga ke peringkat nasional.

Sejak muncul pada 3 April lalu, lagu yang membawa mesej alam sekitar dan disiar di laman Facebook peminat mereka dikongsi lebih 31,000 kali.

Untuk rekod, ketiga-tiga remaja berkenaan mula menubuhkan kumpulan pada 2014 dan mula mendapat populariti di tempat kelahiran mereka selain pernah memenangi beberapa pertandingan band tempatan.

“Kami mungkin kelihatan luar biasa oleh banyak orang. Dunia muzik telah menjadi stereotaip dan negatif, kami mahu memecahkan tradisi itu bukan saja dengan memakai hijab, tetapi juga membawa lagu rock,” kata mereka.

Lagi dari VOX KINI

This page has been viewed 31,904 times.