Rakyat M'sia masih kabur jenayah pedofil

Rizal Mansor | 21 March 2017

Negara ini pernah dikejutkan dengan kisah tangkapan seorang penjenayah pedofil warga asing beberapa tahun lepas di United Kingdom (UK) sekembalinya beliau dari lawatan di Malaysia.

Sebelum itu, dalam kes berasingan, seorang pelajar dari Malaysia juga telah ditahan oleh pihak berkuasa negara itu kerana didakwa memiliki beribu-ribu imej lucah kanak-kanak bawah umur.

Gambar dari dailymail.com.uk

Kisah Richard Huckle pada satu ketika dahulu menggemparkan negara.

Mana mungkin seorang pemuda yang dilihat normal dan kerap kali terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan mempunyai tabiat songsang dan melakukan jenayah pedofil.

Richard Huckle dikatakan telah agak lama berada di Malaysia dan bergaul rapat dengan komuniti di kawasan beliau menetap di negara ini.

Beliau dijatuhi hukuman penjara selama 22 tahun di mahkamah London selepas mengakui 71 pertuduhan melakukan jenayah penderaan seksual terhadap kanak -kanak di Malaysia dan Cambodia.

Pelajar dari Malaysia itu pula dikenakan hukuman penjara selama 5 tahun selepas mengaku bersalah atas 17 pertuduhan menghasil dan mengedarkan 30 ribu imej dan video lucah kanak-kanak di bawah umur.

Walaupun tidak melakukan jenayah pedofil secara langsung, namun pemilikan bahan-bahan seperti itu boleh memberi isyarat atau ‘signal’ kecenderungan dalam melakukannya.

Tindakan mengedarkan imej-imej seperti itu secara meluas pula seolah-olah menjadi punca kepada pertambahan kes jenayah pedofil.

Gambar dari mynewshub

Gambar dari mynewshub

Merujuk kepada kedua-dua kes di atas, jenayah pedofil adalah satu kesalahan yang sangat serius untuk sebuah negara maju seperti UK.

Timbul persoalan mengapa kesalahan kedua-dua individu ini hanya berjaya dikesan oleh pihak penyiasat dari luar negara.

Adakah kerana perkara seperti ini menjadi ‘taboo’ kepada masyarakat negara kita dan akhirnya jenayah pedofil tidak dilaporkan.

Kesedaran masyarakat negara ini mengenai jenayah pedofil perlu ditingkatkan.

Mungkin masih timbul kekeliruan bagaimana perlakuan-perlakuan yang boleh dikategorikan sebagai jenayah pedofil atau tindak-tanduk individu yang menjurus ke arah itu.

Seperti dalam kes Richard Huckle dan pelajar pintar Malaysia itu, sesiapa pun tidak menjangka individu berpewatakan baik boleh mempunyai kecenderungan songsang seperti ini.

Usaha mendidik masyarakat perlu dilakukan dengan serius.

Di pihak kerajaan pula, kerjasama dengan pihak berkuasa dari luar dalam menangani jenayah pedofil juga penting untuk diwujudkan bagi memastikan matlamat ini tercapai melalui perkongsian kaedah-kaedah siasatan dan pemantauan tertentu berdasarkan pengalaman mereka.

This page has been viewed 4,472 times.